Saturday 12 March 2016

Model Pengurusan Islam

Di dalam Al-Quran, Allah telah menerangkan tentang keadilan dalam berurusan. Firman Allah yang bermaksud,

"Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran." (Al-Nahl, 16:90)

Terjemahan ayat Al-quran seperti di atas telah menunjukkan bukti bahawa Allah telah menyuruh hamba-hamba-Nya untuk berlaku adil dan berbuat kebaikan. Oleh yang demikian, model pengurusan Islam sangat dianjurkan dalam sesebuah organisasi atau institusi. Bertitik tolak daripada sumber yang diyakini iaitu Al-Quran dan Hadis, model pengurusan Islam adalah bersifat syumul dan komprehensif jika dibandingkan dengan model-model pengurusan Barat. Islam meletakkan tauhid sebagai pemacu dalam pengurusan baik dari segi dalaman mahupun luaran. Apabila meletakkan tauhid sebagai pemangkin kepada organisasi, maka bukan sahaja menjaga hubungan di antara sesama makhluk tetapi hubungan dengan Allah juga turut sama dijaga. 

Menurut karya Yusof Ismail (1991), model pengurusan Islam itu haruslah dibentuk dengan akidah yang mantap kerana ia akan menentukan matlamat sesebuah organisasi. Organisasi yang mengamalkan penerapan nilai-nilai Islam itu sendiri akan mampu melihat kesannya bukan sekadar dalaman, malahan masyarakat luar juga turut merasai ikatan akidah yang wujud. 

Penerapan nilai-nilai Islam yang sempurna turut menjadi tonggak dalam model pengurusan Islam. Nilai-nilai Islam ini bukan sahaja dalam urusan jual-beli malahan akhlak, budi pekerti, tatasusial dan sebagainya dijadikan snadaran untuk memacu ke aran model pengurusan Islam. Sebagai contoh, sifat jujur dalam perniagaan amat dititikberatkan bagi menjamin keharmonian antara peniaga dan pembeli. Sekiranya peniaga menipu pembeli dengan meletakkan harga barangan seperti tidak masuk akal bukankah ia tidak jujur. Natijahnya, masalah bukan hanya terpalit kepada peniaga tersebut, malahan seluruh institusi masyarakat. Pembeli akan menjadi was-was dalam pembelian, hasil dapatan yang tiada keberkatan dan sesungguhnya Allah menjadi murka. 

Di dalam model pengurusan Islam ini sangat menekankan konsep syura atau musyawarah. Melalui konsep ini, perbincangan secara berkumpulan dapat dilaksanakan. Bukan hanya sekadar perbincangan diperingkat atasan, malahan pihat bawahan juga diajak untuk berbincang. Hal ini jelas menunjukkan bahawa adanya ikatan yang utuh diantara majikan dan pekerja. Secara dasarnya, di pihak bawahan yang seringkali menjadi mangsa keadaan sekiranya terdapat perubahan dalam pentadbiran atau pengurusan. Secara tidak langsung, dengan berbincang secara atas bawah mampu mengurangkan rasa tersisih dalam pembuatan keputusan dalam organisasi.

Kesimpulannya, pengurusan yang sistematik dan bercorak Islam perlu menjadi tunjang dalam sesebuah organisasi. Model pengurusan Islam ini bukan sahaja akan mencorakkan sesebuah organisai mlahan seluruh masyarakat. Melalui syariat, Islam mampu berkembang dengan lebih baik di mata dunia berbanding Barat. Oleh yang demikian, penekanan yang konsisten perlu dilaksanakan agar matlamat sesubah organisasi yang bercorak Islam secara khususnya menjadi model yang kukuh.


Rujukan

1. Yusof Ismail (1991) Mengurus secara Islam. Kuala Lumpur. A.S.Noordeen

2. Wan Liz Ozman Wan Omar (1996) Pengurusan Islam abad ke-21. Kuala Lumpur. Utusan Publications & Distributors Sdn.Bhd

3. Sarimah Othman, Siti Shuhada Ayob, Musyahadah Sawal, Erdayani Ismail, Siti Nur Shafikawati Rahim, Nurul Najihah Alias, etl (24 Februari 2013) Pengurusan dalam Islam. Retrieved from http://www.slideshare.net/ssuserd6ddff/pengurusan-islam-16729525









No comments:

Post a Comment