Sunday 17 April 2016

Ketauhidan dalam Institusi Pembangunan

Konsep utama dalam sesebuah pembangunan institusi adalah untuk mencapai segala matlamat yang telah dirangka seawal penubuhan sesebuah institusi. Kerangka yang membawa jelas hala tuju sesebuah institusi mampu menyumbang kepada pembangunan yang mapan dari segi lahiriah khususnya. Walau bagaimanapun, sesebuah institusi itu dianggap pincang sekiranya tidak mengamalkan pendekatan-pendekatan yang diterapkan oleh Islam. Lebih malang lagi, sekiranya institusi tersebut adalah milik orang Islam. Persoalannya, siapakah yang akan membangunkan institusi berteraskan Islam? Apakah pendekatan yang boleh menghidupkan institusi pembangunan Islam?

Menelusuri sejarah pembangunan yang dibawa ke Tanah Melayu, antara institusi awal adalah institusi raja-raja melayu, institusi pendidikan, institusi pentadbiran dan sebagainya. Institusi pendidikan berkait rapat dengan istana. Hal ini disebabkan kelahiran institusi pendidikan bermula sejak Parameswara memeluk Islam lalu menjadikan istananya tempat untuk menimba ilmu Islam sehingga Tanah Melayu dijajah pada abad ke-18 Masihi (Wawasan Open University, 2016). Sejarah telah membuktikan bahawa setelah kehadiran penjajah di Tanah Melayu turut mengganggu proses institusi yang bertunjangkan salur-galur Islam. Pemerintahan secara kolonial telah menyebabkan institusi raja, institusi pendidikan dan sebagainya mengalami asimilasi dengan pentadbiran baru yang lebih bersifat kolonial. Minda rakyat telah dijajah dan dihidangkan dengan pelbagai jenis bentuk materialistik yang lebih melalaikan. Semakin lama, asuhan berbentuk Islamik semakin pudar lalu terbangunnya rakyat yang lebih berdaya saing dari segi lahiriah semata-mata dan membiarkan keronanian kering-kontang.

Dalam perspektif Islam, pembangunan institusi itu lebih bersifat syumul kerana merangkumi keseluruhan dalam kehidupan yakni lahiriah dan rohaniah (Joni Tamkin Borhan, 2008). Aspek luaran dan dalaman diambil kita jika ingin pendekatan Islam itu menyerap ke dalam sesebuah institusi. Aspek luaran yang dibincang kan di sini adalah hubungan yang bersifat vertikal iaitu diantara manusia dan alam. Bagaimana ingin membentuk sebuah komuniti yang utuh dan kukuh? Cara yang paling ringkas adalah dengan memastikan hubungan yang terjalin sentiasa erat. Selalu menganggap bahawa setiap insan yang hadir dalam diri kita adalah utusan dari Allah. AAllah mengirimkan mereka untuk kita membawa ke jalan yang lurus, bersama-sama menuju jannah Allah Azzawa Jalla. Jelas di sini menunjukkan ketauhidan kita kepada Allah dengan membimbing sahabat-sahabat yang telah diutuskan dengan amanah. Maka, jalinan yang terjadi mampu memperkuatkan sesebuah institusi pembangunan.

Sebagaimana kita bersosial, begitu juga kita perlu menjaga hubungan dengan alam agar tidak melakukan pembaziran. Dalam karya Muhammad Syukri Salleh, 2003 beliau menerangkan pengertian sumber alam ini melibatkan rahsia penciptaannya sehingga kepada tujuan kejadiannya. Seorang hamba yang sering mengabdikan diri kepada Allah akan bertadabbur dengan alam sekeliling bagi menghayati kekuasaan dan keEsaan-Nya. Mengurus alam juga bukan perkara mudah bagi seorang hamba yang kerdil. Apa yang mampu dilakukan adalah dengan menggunakan segala anugerah yang dicipkan oleh Allah dengan akal yang bijak dalam membangunkan sebuah institusi tanpa dorongan hawa nafsu.

Aspek dalaman pula melibatkan pendekatan diri seorang hamba dengan Penciptanya adalah dengan berasa kekuasaan-Nya melebihi segala yang ada di dunia ini. Hal ini sama erti dengan mentauhidkan Allah dalam membangunkan sesebuah institusi. Individu yang mengamalkan nilai tauhid akan lebih bersikap terbuka, melahirkan insan yang bermaruah, melahirkan rasa rendah diri, menjadikan individu yang lebig soleh, tidak mudah berputus asa, mempunyai kkesabaran yang tinggi, mewujudkan sikap redha dan patuh kepada peraturan Allah (Wan Liz Ozman,1996). Ketauhidan yang tinggi perlu ada dalam hati dan jiwa setiap manusia kerana manusia adalah khalifah yang telah dijadikan oleh Allah untuk mengabdikan diri kepada-Nya.

Allah telah berfirman yang bermaksud:

"Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia selain untuk mengabdikan diri kepada Aku"
                                                                                                                 
                                                                                                                         (Surah Az-Zariyat, 51:56)

Mmemiliki akhlak dan budi pekerti yang tinggi akan melahirkan khalifah yang berwibawa. Lahirnya khalifah yang berwibawa akan membawa kepada lahirnya sebuah institusi yang mantap dari segi hubungan habluminallah dan habluminannas. Bukan sahaja masyarakat yang menerima tempiasnya, malah ekonomi juga turut berkembang dengan pesat sekiranya ada nilai amanah, bertanggungjawab dan jujur dalam mengendalikan sesebuah ekonomi. Malah bukan setakat itu sahaja, keberkatan yang dikurnia juga menambahkan lagi keharmoniannya.

Kesimpulannya, pembangunan sesebuah institusi itu mampu menggerakkan ekonomi, politik dan sosial sesebuah negara jika dipasakkan dengan ketauhidan kepada Allah SWT. Percaya, yakin dan berserah dengan segala ketentuan mampu menjamin kejayaan sesebuah institusi.


Bibliografi:

Muhammad Syukri Salleh, (2003). Tujuh prinsip pembangunan berteraskan Islam. Kuala Lumpur: Zebra Editions Sdn.Bhd.

Wan Liz Ozman Wan Omar, (1996). Pengurusan Islam abad ke-21: Revolusi pengurusan untuk keunggulan sektor awam dan korporat. Kuala Lumpur: Utudan Publications & Distributions Sdn Bhd

Joni Tamkin Borhan, (2008). Permikiran pembangunan ekonomi berteraskan Islam. Jurnal Usuluddin, 27, 93-107. Diakses daripada http://biomed2011.um.edu.my/filebank/published_article/8172/Jurnal.Usuluddin.27.2008-07.Joni.Ekonomi.pdf

Wawasan Open University, (2016). Pengajian Islam. Diakses daripada http://pengajianislam.pressbooks.com/

Hairunnizam Wahid, Ab. Razak Dan & Mohd Ali Mohd Nor, (t.t). Pembaharuan pentadbiran untuk pembangunan menurut Islam. Diakses daripada http://www.ukm.my/hairun/kertas%20kerja/pentad%20awam.pdf