Monday 31 October 2016

SAHABAT KE SYURGA

Nur Asmalina binti Md Sidik
P-ISM0067/15
Calon Ijazah Sarjana
Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam
Universiti Sains Malaysia

Artikel ini ditulis bagi memenuhi tugasan penulisan blog kursus SYW502 (Pembangunan Insaniah Untuk Pengurus Institusi). Artikel ini mengandungi lima bahagian. Bahagian pertama adalah pengenalan yang membincangkan maksud rakan sebaya dan isu; kedua, ciri-ciri sahabat yang baik; ketiga, peranan sahabat kepada seseorang; keempat, membina hubungan ke mardathillah; dan kelima kesimpulan kepada keseluruhan perbincangan.

Pengenalan
Menurut laman web Psyconsultancy and Training (2015), rakan sebaya merupakan kumpulan remaja yang sama dari segi pendidikan, kelas sosial dan minat. Rakan sebaya juga antara adalah salah satu proses lanjutan sosialisasi. Kebiasaannya, rakan sebaya mempunyai pengaruh yang cukup besar dalam kehidupan seseorang.  Hasil kajian yang dilakukan Azizi Yahya dan Muhamad Jumat Aliju (t.t) penolakan daripada rakan sebaya merupakan faktor remaja terlibat dengan rakan yang bertingkah laku devian. Belakangan ini, isu remaja dan sosial kerap dipaparkan di dada akhbar dan media arus perdana. Laporan Utusan Online (2016) menyatakan gejala sosial remaja semakin membimbangkan. Hasil siasatan mendapati golongan remaja ini terlibat dalam kegiatan sosial dan vandalisme. Antara punca keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja ini disebabkan pemilihan sahabat yang tidak tepat lalu menjerumuskan diri ke dalam kancah yang tidak bermoral. Menurut Yusuf al-Qadrawi, golongan muda adalah lebih berharga dari hasil galian dan sebagainya kerana mereka akan menerajui pimpinan negara di masa akan datang. Kesedaran awal remaja dalam memilih sahabat adalah keperluan dalam membentuk sahsiah diri yang lebih baik.

Ciri-ciri sahabat yang baik
Sahabat adalah salah satu daripada modal insan yang membina kesejahteraan dalam persahabatan. Persahabatan pula perlu dibina berlandaskan kepada amalan pembangunan insan individu seperti bertoleransi, bersopan santun, baik tutur kata dan sebagainya. Keutamaan pemilihan sahabat haruslah membawa kita ke syurga Allah. Aspek menilai sahabat perlulah memilih dari sudut ketakwaan, keimanan, keikhlasan, kerendahan hati dan bersama dalam perjuangan ke arah Islam yang sebenarnya. Sahabat sebegini perlu diberi tempat yang teristimewa. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,

“Tiga perkara yang boleh mengeratkan persahabatan dengan saudaramu iaitu memberi salam ketika berjumpa, menyediakan tempat duduknya di dalam majlis serta memanggil dengan nama yang disenanginya." (Hadis al-Tabrani)

Hadis di atas adalah sebagai contoh yang terbaik untuk melakukan kebaikan kepada sahabat. Walau pun hal tersebut dianggap sebagai remeh dan kecil, namun hakikatnya ia tetap menggembirakan hati seorang sahabat. Justeru, berbuat baik dengan sahabat amatlah digalakkan.

Peranan seorang sahabat
Peranan sahabat begitu besar untuk membimbing sahabat yang lain. Seorang sahabat itu perlu mempamerkan keperibadian mengikut nilai Islam dalam pergaulan agar menjadi wadah yang penting untuk membimbing sahabat yang lain. Selain itu, sahabat yang baik perlu menuturkan kata yang baik dari segi percakapan dan isinya. Bicara yang baik mampu menarik minat ramai orang untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah. Pepatah ada menyebut “perkataan yang lemah lembut itu melembutkan hati yang lebih keras daripada batu dan perkataan yang kasar itu mampu mengeraskan hati yang selembut sutera”. Maka, setiap tutur bicara oleh sahabat itu harus berakhlak dan tidak menyakitkan hati. Fitrah manusia itu sendiri ingin dihormati dan disayangi. Oleh itu, sahabat turut berperanan untuk memberi penghormatan yang sewajarnya terhadap sahabatnya yang lain bagi mewujudkan suasana yang harmoni lalu menimbulkan kasih sayang kerana Allah. Menegur secara hikmah adalah antara contoh menunjukkan rasa hormat kita kepada sahabat.


Membina hubungan ke Mardathillah
Sahabat ini bukan sahaja berperanan menjadi tempat untuk kita bercerita, mengadu duka lara dan gelak ketawa. Bahkan, mereka adalah pelaku pembangunan yang bersama membawa kita kepada keredaan Allah semata-mata. Menurut Muhammad Syukri Salleh (2003), terdapat tiga kaedah untuk memperoleh redha Allah iaitu tauhidnya dengan Allah merangkumi keikhlasan; kedua, syariat dijaga dengan bersungguh-sungguh dan ketiga, akhlak dengan Allah turut dijaga sungguh-sungguh dengan meninggalkan sifat-sifat mazmumah.  Oleh itu, dalam persahabatan seharusnya mempunyai matlamat akhir yang sama iaitu menuju redha Ilahi. Hubungan yang dibina sesama manusia yakni sahabat akan turut mendapat redha Allah sekiranya antara mereka saling menjaga untuk ke syurga Allah. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud,

“Tidaklah beriman seseorang dari kalian sehingga dia mencintai untuk saudaranya sebagaimana dia mencintai untuk dirinya sendiri.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Jelas hadis di atas menunjukkan kasih sayang sesama sahabatnya. Kesempurnaan iman seseorang itu bergantung pada kasih sayangnya terhadap sahabat dan saudaranya. Kasih sayang yang diberikan kepada sahabat seperti mengasihi dirinya sendiri adalah  penting dan dipandang tinggi dalam Islam.

Maka, hubungan habluminannas iaitu hubungan sesama manusia khususnya sahabat perlu diberi penekanan yang sewajarnya kerana dengan hubungan ini, boleh membawa kepada hubungan habluminallah iaitu hubungan dengan Allah. Seterusnya membawa kepada kejayaan dunia dan akhirat.

Kesimpulan
Pendek kata, sahabat antara insan yang mencorak kehidupan kita di masa hadapan. Pemilihan sahabat yang baik memerlukan kesedaran awal dari kecil lagi. Tersilap pilih sahabat, maka akan menyesal di kemudian hari. Menjadi sahabat yang baik, ikhlas, beriman dan bertakwa kerana Allah juga akan membawa ke syurga Allah. Perkara yang paling penting adalah bersama-sama memimpin tangan sahabat menuju mardathillah. Maka, niatkan dengan ikhlas untuk bersahabat kerana Allah. Semoga Allah terus meredhai apa yang kita lakukan.

Bibliografi

1) Azizi Yahya dan Muhamad Jumat Aliju. (t.t). Pengaruh negatif rakan sebaya. Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia.

2) Lidwa.com

3) Muhammad Syukri Salleh. (2003). Tujuh prinsip pembangunan berteraskan Islam. Kuala Lumpur: Zebra Editions Sdn. Bhd.

4) Psyconsultancy & Training. (2015). Pengaruh rakan sebaya terhadap anak-anak. Diakses pada 31/10/2016 di https://psyconsultancyandtraining.wordpress.com


5) Utusan Online (2016). Gejala sosial remaja membimbangkan. Diakses pada 26/10/2016 di http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/kl-putrajaya/gejala-sosial-remaja-membimbangkan-1.259671