Monday 23 May 2016

Menanam Tauhid dalam Aspek Pengurusan Diri dan Institusi

Acuan diri bersandarkan Islam itu terbentuk daripada nilai-nilai yang diterapkan sedari kecil. Asas-asas pengetahuan tentang akidah akan membawa kepada sifat ketauhidan terhadap Allah SWT. Secara tidak langsung, ia menjadi tunjang dalam menegakkan sesuatu syariat. Sebagai hamba, wajib bagi kita untuk mentauhidkan Allah. Selain akidah yang menjadi teras dalam pengurusan diri seseorang, syariat dan akhlak turut menjadi pendokong bagi memantapkan lagi nilai-nilai ketauhidan kepada Allah dalam diri individu dan institusi, (Ridzuan, 2010). 

Akidah itu begitu berkait rapat dengan kepercayaan yang yakin terhadap Zat Yang Maha Besar. Menurut Hassan al-Banna, keteguhan dan kepercayaan akidah yang tinggi dapat memupuk hati dan jiwa menjadi tenang. Jadi, bagaimana kita ingin menguruskan sesuatu itu mengikut konsep tauhid yang sebenarnya? Hal ini berkait di antara insan, amal yang dilakukan dan kedudukan organisasi yang diterajui. 

Secara umumnya, hakikat insan itu adalah seorang yang seringkali alpa, mudah merasa kecewa, kerap putus harapan, mudah beremosi dan sebagainya. Allah telah berfirman yang bermaksud:

"Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan dalam keadaan yang lemah."

                                                                                                                              (Surah An-Nisa', 4:28)

Seharusnya kita sebagai manusia perlu tahu akan sifat-sifat semulajadi, fitrah sebagai hamba dan khalifah di atas muka bumi ini dan mampu untuk menilai yang mana hak dan batil. Manusia sebagai pelaku itu sendiri harus mengetahui bahawa terdapat pecahan dalam mentauhidkan Allah  iaitu tauhid rububiyyah dan tauhid uluhiyyah. Secara dasarnya, tauhid rububiyyah mempercayai dengan yakin bahawa Allah itu adalah satu dan tiada pengganti. Dalam konsep tauhid rububiyah ini juga perlu meyakini bahawa Allah yang mencipta segala yang ada di atas muka bumi ini berdasarkan kepada kekuasaan-Nya. Tauhid uluhiyyah pula  secara dasarnya beriktikad bahawa hanya Allah yang patut disembah dan segala tingkah laku semata-mata kerana Allah. Oleh yang demikian, manusia sebagai pelaku utama harus menerapkan nilai-nilai ketauhidan dahulu sebelum beramal.

Kefahaman terhadap apa yang dilakukan oleh pelaku itu sendiri perlu dipupuk dengan nilai-nilai tauhid itu sendiri agar setiap apa yang dilakukan tidak menjadi sia-sia. Kaedah seorang hamba itu beramal hendaklah dimulai dengan niat yang betul kerana Allah semata-mata dan tidak mengharapkan balasan selain ganjaran yang akan diberikan oleh Allah. Selain itu konsep amal ini turut merangkumi syariat yang dibawa bahawa setiap perkara yang dilakukan tidak melanggar batas-batas syariat agama Islam. Disamping mengamalkan perkara yang boleh membangunkan institusi seperti perniagaan dan melebarkan empayar, namun perkara yang menjadi kewajipan tidak harus ditinggalkan seperti solat 5 waktu dan beramal jariah.

Sebagai pemegang amanah di atas bumi Tuhan ini, manusia itu dipertanggungjawabkan dengan tuntutan sebagai hamba dan khalifah bagi menerajui dunia ini membawa kepada akhirat yang sempurna. Oleh yang demikian, hakikat berorganisasi itu adalah salah satu daripada perlakuan manusia untuk menunjukkan ketauhidan kepada Allah. Organisasi yang dibina berdasarkan kepada tauhid yang tinggi kepada Allah mampu untuk membangun dengan lebih kukuh. Keseimbangan yang ditonjolkan dari diri pekerja itu sendiri, perilaku yang dibawa serta organisasi yang terbina dengan aspek-aspek tauhid akan jelas memancarkan pengurusan yang lebih baik. 

Kesimpulannya, menanam tauhid dalam aspek diri dan institusi adalah satu cara yang harmoni dalam menguruskan sesebuah institusi. Aspek dalaman diri pekerja itu sendiri sama ada peringkat atasan dan bawahan perlulah selari dengan tujuan dan matlamat organisasi itu ditubuhkan agar semua mendapat keredhaan Allah.

Bibliografi

1. Surah.My (2016)
2. Wawasan Open University. (t.t). Konsep akidah 
3. Ridzuan. (2010). Pengurusan etika: Etika pengurusan Islam, diakses daripada       http://pengurusanetika.blogspot.my/2010/09/etika-pengurusan-islam.html
4. Hisyam Ummar Projects. (2014).  Kelemahan manusia (40 ayat). Diakses daripada http://sayahafiz.com/index/7/AL-QURAN/3216/Kelemahan%20manusia.html#